Malaysia B-23 Tewas Tipis kepada Lubnan
Kekalahan tipis 0-1 di tangan Lubnan dalam perlawanan pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 semalam meninggalkan rasa kecewa dalam kalangan skuad muda negara.
Jaringan tunggal Ali El Fadl memastikan Lubnan mencatat kemenangan walaupun Malaysia B-23 menguasai hampir keseluruhan perlawanan.
Reaksi Jurulatih Nafuzi Zain
Jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain, meluahkan kekecewaan dan kesedihan selepas perlawanan. Beliau menegaskan pasukannya sebenarnya layak meraih keputusan lebih positif.
"Dari segi pemain, saya tengok begitu, sangat-sangat kecewa. Saya rasa kita boleh mendapatkan tiga mata untuk game dengan Lubnan," kata beliau.
Nafuzi menambah bahawa skuad muda negara perlu menerima hakikat terlepas peluang tiga mata meskipun kemenangan berada dalam genggaman.
"Tetapi selepas perlawanan, kita tengok keputusan kita tewas. Saya rasa tidak seharusnya kita tewas," jelasnya.
Menurut beliau, persembahan pasukan lebih layak untuk meraih kemenangan.
"Dan saya rasa patut kita boleh menang. Tapi itulah, bola sepak," katanya lagi.
Fokus Menjelang Perlawanan Menentang Mongolia
Walaupun kecewa, Nafuzi menegaskan bahawa skuad bawah 23 tahun perlu segera melupakan kekalahan dan menumpukan perhatian kepada cabaran seterusnya.
"Kita kena melupakan kekalahan dan fokus untuk aksi seterusnya, mencari kemenangan dengan bertemu Mongolia," tambah beliau.
Skuad muda negara kini giat bersiap untuk menghadapi Mongolia pada 6 September 2025, dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia B-23, dengan harapan mampu bangkit meraih keputusan lebih baik.
Jom komen ! :)