FAM Sahkan Buat Rayuan Kepada FIFA Isu Pemalsuan Dokumen Pemain Kebangsaan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan yang didakwa mempunyai unsur pemalsuan dokumen.

Dalam satu kenyataan media rasmi, FAM memaklumkan bahawa pihak mereka telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA dan kini bersedia mengambil langkah undang-undang yang ditetapkan bagi mencabar keputusan tersebut.

Bagi yang masih belum tahu, pada penghujung september 2025, FIFA telah mendendam Persatuan Bola Sepak Malaysia atas kesalahan pemalsuan dokuman. Semalam, FIFA dedahkan punca 7 pemain yang digantung mereka dan masalah dokumen yang palsu tersebut.


FAM Sahkan Buat Rayuan Kepada FIFA Isu Pemalsuan Dokumen Pemain Kebangsaan



FAM Akan Fail Rayuan Secara Rasmi Kepada FIFA

Menurut kenyataan itu, FAM akan mengemukakan rayuan melalui saluran undang-undang rasmi selepas meneliti keseluruhan dokumen yang diterima daripada FIFA.
Semua bukti sokongan dan dokumen berkaitan telah disusun dan akan dikemukakan dengan kadar segera.

“FAM ingin menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi,” jelas kenyataan tersebut.


Tiada Bukti Pemain Palsukan Dokumen

Antara perkara yang menjadi perhatian FAM ialah dakwaan bahawa pemain kebangsaan memperoleh dokumen yang dipalsukan atau sengaja mengelak peraturan kelayakan.
FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti sahih dikemukakan oleh FIFA bagi menyokong tuduhan itu.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan. Kami menegaskan bahawa tiada bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA,” ujar kenyataan itu lagi.

FAM turut menjelaskan bahawa semua urusan dokumentasi dan pendaftaran pemain dijalankan sepenuhnya oleh pihak persatuan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pemain-pemain terlibat pula bertindak dengan niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses rasmi yang dilaksanakan oleh FAM.


FAM Anggap Dakwaan FIFA Tidak Tepat dan Tidak Adil

Dalam kenyataan yang sama, FAM menegaskan bahawa penggambaran kes ini adalah tidak tepat serta tidak adil terhadap pemain dan juga institusi bola sepak negara.

FAM akan membentangkan hujah penuh dalam proses rayuan rasmi bagi memastikan keadilan ditegakkan dan nama baik Malaysia dipertahankan.

“FAM berpendapat bahawa penggambaran ini tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.”


FAM Komited Lindungi Kepentingan Bola Sepak Negara

FAM menegaskan komitmen mereka untuk melindungi hak para pemain, mempertahankan kepentingan bola sepak Malaysia, serta memastikan proses rayuan berjalan secara telus dan adil.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan,” tambah kenyataan itu.


FAM Terikat Di Bawah Akta Rahsia Rasmi & Akta Pasport

Menariknya, FAM turut menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan prosedur rasmi kerajaan Malaysia berhubung pengeluaran dan pengesahan pasport.

Maka, di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang maklumat rasmi berkaitan proses itu tidak boleh didedahkan kepada umum tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut. Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja.”


Reaksi Awal Peminat & Pemerhati Bola Sepak

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, ramai peminat bola sepak tempatan menyatakan sokongan terhadap langkah FAM untuk memperjuangkan keadilan bagi para pemain.
Di media sosial, hashtag #SokongFAM dan #KeadilanUntukPemain mula tular, menggambarkan kebimbangan penyokong terhadap reputasi pasukan kebangsaan.

Pemerhati sukan tempatan juga melihat tindakan ini sebagai langkah penting bagi menjaga kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.


Apa Seterusnya?

Proses rayuan kepada FIFA dijangka akan berjalan dalam beberapa fasa, termasuk penyerahan dokumen rasmi, sesi pendengaran dan pengesahan bukti.
Sekiranya rayuan diterima, keputusan tatatertib sebelum ini boleh digugurkan atau dipinda.

Namun, jika ditolak, Malaysia berpotensi membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland sebagai langkah terakhir.


Kesimpulan

FAM kini berada di fasa penting dalam mempertahankan maruah bola sepak Malaysia di mata dunia.
Walaupun tuduhan pemalsuan dokumen telah menimbulkan pelbagai reaksi, kenyataan tegas FAM menunjukkan bahawa pihak persatuan tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan segala saluran undang-undang untuk menegakkan kebenaran.

FokusBola akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan memberikan laporan terkini kepada pembaca sebaik sahaja ada maklumat baru dari pihak FIFA atau FAM.



Post a Comment

Jom komen ! :)

Terbaru Lebih lama